KUCHING, Julai 25: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Kampung Semerah Padi di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Muizzudin Amin Mahadi, 17, dari Kampung Sinar Budi Baru disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Semerah Padi ke pusat bandar raya ini.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan telah bertembung dengan sebuah motosikal yang dinaiki seorang remaja lelaki dan remaja wanita, masing-masing berusia 17 dan 16 tahun.
“Kesan perlanggaran itu telah mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya.
“Dua lagi mangsa yang cedera di kepala juga telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Zon Merah Hospital Umum Sarawak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal itu bertembung sesama sendiri di laluan lurus.
Namun katanya, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam proses siasatan.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily