Tragedi balik rumah, isteri temui ajal manakala suami cedera selepas motosikal dirempuh kereta

Kelihatan kereta yang merempuh motosikal dinaiki mangsa bersama suaminya.

MIRI, Julai 25: Perjalanan pulang pasangan suami isteri ke rumah dari tempat kerja mereka berakhir dengan tragedi apabila si isteri maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh oleh sebuah kereta Proton Persona di Jalan Kuala Baram By Pass sebelum lampu isyarat E-Mart Tudan di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, mangsa, Lanja Jini, 42, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Miri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum nahas itu, mangsa yang menaiki motosikal bersama suaminya, Richard Entingang, 47, dikatakan dalam perjalanan dari tempat kerja di Permyjaya menuju ke rumah mereka di Jalan Senadin di sini.


Menurutnya, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang dinaiki bersama suaminya telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 58 tahun.

“Impak rempuhan kuat tersebut telah menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Suami mangsa pula hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pihak polis telah melakukan siasatan awal dan mengambil ukuran serta gambar tempat kejadian.

Katanya, pemandu kereta yang berasal dari Selangor itu telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily