Remaja ditangkap jual tambah nilai judi dalam talian

Gambar komposit tangkapan dan rampasan kedua-dua kes

KOTA PADAWAN, 30 Julai: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditangkap disyaki ejen tambah nilai judi dalam talian di Kuching City Mall Commercial Centre semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek ditangkap anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan yang melakukan serbuan Op Dadu Khas pada jam 12.45 tengah hari.

“Semasa diperiksa, anggota polis menemui bukti menunjukkan suspek terlibat kegiatan judi dalam talian berdasarkan aplikasi yang terdapat pada telefon bimbitnya.


“Hasil siasatan, suspek yang berasal dari Jalan Bako itu mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek kemudian ditangkap dan telefon bimbit serta sejumlah wang tunai turut dirampas.

Sementara itu, seorang lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun ditangkap juga disyaki ejen tambah nilai judi dalam talian.

Kata Aidil, suspek ditangkap di sebuah kedai di Jalan Batu Kawa-Tondong pada hari yang sama iaitu sekitar jam 5.52 petang.

Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit, wang tunai dan kertas bertulis nombor dan angka disyaki iD dan kata laluan akaun judi dalam talian.

Kedua-dua suspek ditangkap di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily