Regata Sarawak-Festival Tebingan Sungai Kuching 2019 dirasmikan hari ini

Abang Johari melakukan ‘eyes dotting’ di Tebingan Sungai di Majlis Pelancaran Regata Sarawak-Fetival Tebingan Sungai Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Oktober: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pagi ini telah merasmikan Regata Sarawak-Festival Tebingan Sungai Kuching 2019.

Seperti di tahun-tahun lepas, festival kali ini sekali lagi mengetengahkan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa, dimana pada majlis yang sama, Abang Johari turut melakukan ‘eye-dotting’ di Tebingan Sungai.


Ketika ditemui pemberita, beliau berkata jumlah penyertaan pada Regata Sarawak 2019 telah menunjukkan peningkatan.

“Saya dimaklumkan yang perlumbaan perahu naga kali ini disertai 14 negara dimana Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pertama kali menghantar pasukan,” katanya.

Selain UAE dan Amerika Syarikat, perlumbaan juga disertai pasukan dari Indonesia, China, Brunei, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Malaysia.

Abang Johari (kiri) menerima cenderamata berupa ‘Pendayung’ dari Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Di samping itu, Abang Johari juga yakin produk kraftangan yang dipamerkan pada festival kali ini bakal mendapat perhatian orang ramai dan pelancong dari luar.

Katanya, sambutan terhadap industri kraftangan sangat memberansangkan dengan pameran produk-produk yang baharu.

“Kita memiliki produk kayu yang bernilai tinggi. Umpamanya tadi saya ada melihat sebatang kayu belian dengan ukiran yang menarik,” katanya.

Ujar beliau lagi, produk kayu negeri ini mempunyai masa depan yang cerah setelah kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan hub perabot di Singapura.

Festival Tebingan Kuching 2019 yang berlangsung selama dua minggu menampilkan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa bermula hari ini dan esok, diikuti Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November.

Acara kemuncak Regata Sarawak, iaitu merebut Piala Raja Sungai, dijadualkan pada 3 November dan akan disaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Sepanjang festival, turut diadakan acara sukan air, pesta makanan, pameran dan jualan kraf dan persembahan pentas. — DayakDaily