Petros sumbang RM500,000 sempena Regata Sarawak 2023

Abdul Karim (lima kanan) menerima sumbangan RM500,000 Petros yang disampaikan Hamid (tiga kiri).

KUCHING, 24 Okt: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) hari ini telah menyumbangkan RM500,000 kepada Jawatankuasa Induk Penganjuran Sarawak Regatta 2023.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sempena Regata Sarawak yang bakal berlangsung pada 27 Okt hingga 5 Nov depan.

Sumbangan yang diserahkan Pengerusi Petros Tan Sri Hamid Bugo itu telah diterima Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah


Dalam pada itu Abdul Karim berkata, pemberian sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta, agensi kerajaan serta GLC amat digalakkan bagi membantu menyemarakkan lagi mana-mana acara yang diadakan.

”Jadi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Petros kerana telah bersetuju untuk menyumbang sebagai CSR mereka bagi menyemarakkan lagi suasana produk pelancongan kita iaitu Regata Sarawak,” ujarnya.

Antara acara dan aktiviti yang akan diadakan sempena Regata Sarawak ialah Sarawak International Dragon Boat Regatta pada 27 hingga 29 Okt.

Perlumbaan Perahu Regata Sarawak diadakan pada 3 hingga 5 Nov.

Festival Sarawak Kitchen dan Jualan Kraf Tekstil Borneo dari 27 Okt hingga 5 Nov selain persembahan kebudayaan, karaoke, Festival Gendang Melayu Sarawak dan juga buskers.

Manakala, ‘eye-dotting’ dan Perasmian Regata Sarawak akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 28 Okt ini. — DayakDaily