Rasuah pasukan risik PGA, lelaki didenda RM10,000

Court — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 23 Ogos: Seorang lelaki berusia 55 tahun dijatuhkan hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Sri Aman hari ini di atas kesalahan menawar dan memberi rasuah kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Keputusan dibuat Hakim Steve Ritikos dan wang rasuah berjumlah RM3,000 yang disita di lucuthak ke dalam hasil Kerajaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menawar dan memberi rasuah wang tunai sebanyak RM3,000 kepada pasukan cawangan risik Batalion 10 PGA yang sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Lot 458, Blok 2, Jalan Datuk Tawi Sli di Sri Aman pada 15 Februari 2019 jam 1.30 petang.


Tertuduh dikatakan melakukan perbuatan tersebut sebagai balasan agar pasukan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kesalahan memiliki 163 kotak minuman keras di bawah Akta Kastam 1967.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Miller Jawoi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — DayakDaily