Saya ada bukti undi pos di Bera disisipkan RM300, kata Anwar

Anwar (tengah) di sidang media di Kuching.

KUCHING, 12 Nov: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bukti berlakunya rasuah ketika proses undi pos di Parlimen Bera akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya ada bukti dan saya minta dihentikan cara pengundian termasuk satu bukti jelas dengan RM300 disisipkan.

“Jangan bimbang, itu di antara saya dengan SPR. Saya sudah beri kenyataan, SPR sudah minta maklumat dan saya akan sampaikan.


“Seperti mana yang tertera, kertas undi dan RM300 harus disiasat, itu yang kita minta,” katanya di sidang media di Kuching hari ini.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam ucapan di Kuala Terengganu pada semalam mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Menjawab dakwaan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap ia sebagai fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan.

Ismail berkata dakwaan itu juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat. — DayakDaily