RM26 juta diperuntukkan bagi EFS pada tahun 2021 — Fatimah

Kelihatan Fatimah (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (23 Ogos 2021).

KUCHING, 23 Ogos: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM26 juta di bawah program Endowment Fund Sarawak (EFS) pada tahun 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemberian EFS sebanyak RM1,000 kepada setiap kelahiran anak Sarawak dalam bentuk simpanan bermula pada tahun 2019.

“Pada tahun 2019, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta di bawah program EFS, manakala sebanyak RM30 juta diperuntukkan pada tahun 2020 dan RM26 juta pada tahun 2021.

“EFS ini hanya boleh dikeluarkan apabila anak tersebut mencapai usia 18 tahun sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran, memulakan karier atau sebagai modal kecil perniagaan,” katanya pada sidang media selesai mesyuarat bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, setakat 31 Julai 2021, kerajaan telah menerima sebanyak 9,352 permohonan EFS.

Katanya, ia adalah 72 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran anak kelahiran Sarawak (Status K) di Sarawak iaitu 13,031.

“Peratusan pendaftaran telah menurun susulan daripada penutupan semua cawangan JPN di Sarawak pada bulan Jun 2021 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, kementerian ingin menyeru kepada semua ibu bapa segeralah memohon EFS di mana-mana cawangan JPN negeri Sarawak dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelahiran anak semasa anda membuat pendaftaran kelahiran.

“Ibu turut boleh memohon Bantuan Ibu Bersalin (BIB) di mana-mana 52 buah cawangan JPN Negeri Sarawak,” katanya

Selain memohon di JPN, tambah Fatimah, ibu boleh memohon BIB di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian/Daerah atau Pejabat Daerah di seluruh Sarawak.

Pada sidang media yang sama, beliau turut berkata bahawa BIB diteruskan pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM16 juta.

BIB berjumlah RM450 diberikan bagi setiap ibu yang melahirkan anak bermula 1 Januari 2020.

“Jumlah peruntukan yang diluluskan pada tahun 2020 bagi tujuan ini ialah sebanyak RM18 juta.

“Tujuan bantuan ini adalah bagi membantu keperluan ibu selepas melahirkan anak seperti pemakanan, penjagaan diri semasa berpantang dan sebagainya.

“Bantuan ini terus dibayar ke akaun ibu yang layak, setelah kelahiran anak,” ujar Fatimah. — DayakDaily