RASDA cadang tubuh makmal pertanian khas bagi tanaman Sacha Inchi

Sikie ketika ditemui di Kuching. Foto: UKAS

KUCHING, 8 Mei: Makmal pertanian khas bagi penanaman Sacha Inchi dicadang ditubuh, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Sikie berkata, ia di cadang menerusi Agensi Pembangunan Rascom (RASDA).

Katanya, makmal khas tersebut bertujuan untuk membantu masyarakat terutama pihak Jabatan Pertanian dan ketua-ketua masyarakat dalam mempelajari teknik-teknik penanaman Sacha Inchi.

Sacha Inchi sejenis tanaman yang semakin popular sebagai sumber minyak dan protein.

“Sacha Inchi merupakan satu tumbuhan yang sesuai untuk ditanam oleh penduduk yang tinggal di luar bandar atau rumah panjang, kerana ia tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak, namun berpotensi membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama RASDA Advisory Council (RAC) dan Sacha Inchi Superfood Sdn Bhd berhubung perkara tersebut di pejabatnya hari ini.

Tambah Sikie, satu pokok Sacha Inchi boleh menghasilkan 1 kilo buah setiap bulan.

Ujarnya, jika ditanam di 1 ekar tanah yang boleh memuatkan 450 pokok, ia pasti menghasilkan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan.

“Seandainya penduduk boleh menanam empat atau lima ekar, pendapatan mereka sebulan boleh mencapai RM7,000,” jelasnya.

Untuk rekod, Sacha Inchi merupakan tumbuhan asli Amazon di Peru, dan kini ditanam secara meluas di Asia Tenggara, terutama di Thailand.

Tanaman ini kaya dengan asid alfa-linoleik dan asid linoleik dan minyak serta derivatifnya digunakan di seluruh dunia untuk kosmetik, makanan dan perubatan. — DayakDaily