Rakyat sudah berani gunakan hak mereka, kata penganalisis politik

Dr Jeniri Amir

KUCHING, Mei 13: Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 lalu jelas membuktikan rakyat di negara ini sudah berani menggunakan hak mereka untuk memilih tampuk kerajaan baharu menggantikan Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kejatuhan atau kehilangan populariti BN di kalangan pengundi adalah disebabkan ketidakpuasan hati mereka seolah-olah tidak didengari oleh kerajaan BN sebelum ini.

Jelasnya, gelombang tsunami rakyat dalam pilihan raya umum itu ternyata berjaya menumbangkan kerajaan BN.


“Ia adalah ekoran daripada dasar pemimpin tertinggi negara sebelum ini yang dilihat mengutamakan diri sendiri sahaja tanpa mempedulikan hak rakyat.

“Senario tersebut telah menjejaskan imej BN dalam kalangan rakyat khususnya para pengundi sekali gus menyaksikan kekalahan teruk BN,” katanya di sini hari ini.

Dr Jeniri menambah, antara lain, terdapat beberapa isu yang menjadi antara indikator kepada kekalahan BN seperti kos sara hidup, skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) antara yang membangkitkan kemarahan di kalangan rakyat kerana membebankan hidup rakyat.

“Selain itu, isu skandal 1Malaysia Development Berhad, Felda dan penyalahgunaan kuasa juga antara penyebab utama kepada kejatuhan BN.

“Rakyat juga mahu pembaharuan keluar daripada cengkaman BN bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk,” katanya lagi. — DayakDaily