Abdul Wahab: Jadikan STEM subjek yang seronok

Abdul Wahab (lima dari kanan) menyerahkan replika cek kepada wakil sekolah.

SARATOK, Mei 13: Warga pendidik perlu menjadikan pembelajaran sains sesuatu yang menyeronokkan untuk memupuk minat terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, pendekatan pembelajaran mata pelajaran STEM yang menyeronokkan boleh membantu meningkatkan jumlah pelajar aliran sains di negeri ini.

Jelasnya, warga pendidik perlu menjadikan STEM sesuatu yang menyeronokkan bagi mendorong pelajar mengambil mata pelajaran STEM di sekolah.


“Janganlah salahkan pelajar sekiranya mereka tidak minat mengambil mata pelajaran sains, tetapi salahkanlah diri kita kerana tidak menjadikannya sesuatu yang menyeronokkan dan menarik.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu memupuk minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran STEM,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sekolah 3.0 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia (BM) Saratok di sini hari ini.

Abdul Wahab menambah, kerjaya berkaitan bidang STEM di negara ini mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Sehubungan itu katanya, mereka perlu mempersiapkan diri untuk bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan dan bersikap lebih bersedia menerima STEM.

“Pendidikan dan kerjaya bidang STEM adalah amat penting agar Malaysia lebih bersedia menghadapi masa depan, terutamanya berikutan kemunculan revolusi industri keempat (Industri 4.0),” jelasnya lagi.

Dalam majlis sama, Abdul Wahab turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM260,000 kepada sekolah tersebut. — DayakDaily