Pusat refleksologi di MJC diserbu, 12 wanita warga asing ditangkap

Pasukan operasi menjalankan siasatan

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 26 Jan: Sebuah Pusat Refleksologi di Bandar Baru Batu Kawah (MJC) diserbu dan 12 wanita warga asing ditangkap semalam.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan, di mana beliau memberitahu premis tersebut telah beroperasi tanpa kebenaran dan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Beliau memberitahu pemeriksaan awal mendapati premis tersebut berkunci.

“Bagaimanapun selepas dipanggil beberapa kali, akhirnya pintu dibuka di bahagian belakang oleh penjaga premis iaitu seorang wanita warga asing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seramai 12 orang wanita warganegara China, Filipina dan Vietnam yang berusia 28 hingga 54 tahhn berada di ruang menunggu di dalam premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya juga, turut ditemui di dalam premis ialah satu bilik karaoke yang didapati beroperasi tanpa lesen.

“Kesemua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan turut dirampas ialah satu buku catitan yang digunakan sebagai buku daftar pelanggan.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan selanjutnya,” kata Aidil. — DayakDaily