Pusat pemberian vaksin ditambah di Bintulu

Tiong (dua dari kanan) berbincang dengan petugas di salah sebuah pusat pemberian vaksin di Bintulu.

KUCHING, 13 Jun: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu sedang mengkaji kemungkinan untuk meningkatkan bilangan pusat vaksinasi khusus di kawasan yang padat penduduk di Bintulu.

Menurut MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing, ia adalah usaha menangani permintaan vaksinasi dan mencapai matlamat imuniti kelompok secepat mungkin.

Justeru katanya, sektor perindustrian dan perusahaan besar disaran untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam program vaksinasi pekerja industri.


Namun, jelasnya, majikan mesti menanggung kos berkaitan.

“Walaupun terdapat beberapa pusat vaksinasi di Bintulu, namun ia masih tidak mencukupi.

“Kami sedang mengkaji penubuhan pusat vaksinasi tambahan dari pelbagai perspektif, termasuk pengambilan sumber tenaga manusia tambahan dan pengenalpastian tapak yang sesuai, ruang, dan lain-lain.

“Ini bertujuan untuk mempercepatkan tugas vaksinasi rakyat Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung isu yang sama, Tiong telah melawat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan memeriksa lokasi di kawasan Kidurong yang berpotensi dan memenuhi kriteria untuk dijadikan PPV pada pagi ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai yang hadir ke program vaksinasi untuk mengikut jadual temu janji yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera bagi mengelak daripada menunggu lama dan bersesak.

Katanya, seluruh proses vaksinasi dirancang dengan rapi, semua tenaga kerja dan pengaturan kerja dibuat dengan teratur dan ia juga untuk mengelakkan jangkitan.

“Ada segelintir memikirkan mereka boleh “memotong barisan” dengan sampai awal beberapa jam sebelum masa temu janji, tetapi berakhir dengan kecewa seterusnya mencetus pertelingkahan dengan kakitangan di PPV.

“Ini merupakan perbuatan keterlaluan dan tidak diingini.

“Orang ramai hanya perlu tiba di PPV mengikut masa temu janji. Semua orang berpeluang diberi suntikan vaksin, jangan potong barisan sekali gus mencetuskan suasana huru-hara,” ujar Tiong.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menggesa pihak polis untuk menyiasat secara menyeluruh mana-mana pengguna yang telah menimbulkan situasi panik dengan menghantar paparan media sosial sesuka hati.

Ujar beliau, ia penting ditangani supaya individu tersebut tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Jika perkara sebegini berterusan dan dibiarkan, bilakah kita rakyat akan mempelajari disiplin diri, bekerjasama dan perpaduan? Dan sampai bila wabak baru boleh berakhir?” tanya Tiong. — DayakDaily