Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 ditubuhkan di Mulu

Lee (tengah) bersama pegawai kesihatan dan perubatan yang dihantar ke Mulu menerusi penerbangan "mercy flight". Foto: Ukas

KUCHING, 21 Jun: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah membuat keputusan mendirikan Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di kawasan Mulu.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ini susulan beberapa kes positif Covid-19 yang dikesan di Mulu.

Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, pegawai kesihatan dan perubatan telah dihantar ke Mulu untuk melakukan tinjauan pada Ahad (20 Jun 2021).


“Satu penerbangan “mercy flight” telah dilakukan menggunakan pesawat AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menghantar tiga orang daripada Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri dan empat orang daripada Hospital Miri beserta dengan barangan perubatan.

“Memandangkan Mulu merupakan kawasan yang jauh dan tiada kemudahan jalan darat, keputusan telah dibuat oleh PKB Miri bersama dengan Hospital Miri untuk mendirikan Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) Covid-19 di kawasan Mulu.

“Pasukan perubatan akan melakukan siasatan, saringan Covid-19, rawatan serta pemantauan di PKRC Taman Negara Mulu,” katanya.

Pemilihan Taman Negara Mulu dibuat selepas mendapat permohonan daripada ADUN Mulu Dato Gerawat Gala dan Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Tambah Lee yang juga Menteri Pengangkutan, pihak pengurusan Taman Negara Mulu telah bersetuju untuk menggunakan fasiliti di bawah seliaan mereka untuk tujuan PKRC Covid-19 sebagai tanggungjawab sosial korporat. — DayakDaily