PPV Bergerak di SK Nanga Lawih beri vaksinasi kepada penduduk di 5 rumah panjang

Penduduk luar bandar mendapatkan suntikan vaksin di SK Nanga Lawih, Spak pada Ahad (20 Jun 2021). Foto: Ukas

KUCHING, 21 Jun: Program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Betong diteruskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Lawih, Spak, pada Ahad (20 Jun 2021).

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia merupakan hari pertama bagi siri kedua program tersebut di Bahagian Betong.

Pada program tersebut, sebanyak 200 dos vaksin Covid-19 berjaya diberikan kepada penduduk di lima rumah panjang dari Ulu Spak iaitu Mupoh Baruh, Gerugu, Jelang, Engkalat dan Kabok.

Sementara itu, ADUN Layar Gerald Rentap Jabu turut meluangkan masa untuk meninjau proses pemberi vaksin berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas dan menambah PPV Bergerak yang ditempatkan di SK Nanga Lawih adalah strategik.

Katanya, penduduk di lima rumah panjang berdekatan tidak perlu ke Betong untuk mendapatkan vaksin.

Pada program berasingan, Gerald berkesempatan meninjau jambatan utama merentasi Sungai Layar yang menghubungkan Jalan Linsom/Mara/Ulu Spak yang baru sahaja siap. — DayakDaily