Pusat judi dalam talian raih keuntungan cecah RM1.26 juta, digempur IPD Kuching

Ahsmon (tengah) menunjukkan barang-barang kes.

KUCHING, 12 Nov: Sebuah apartmen di Taman Seng Goon, di sini yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian digempur IPD Kuching semalam (Khamis).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan sekitar jam 3.05 petang itu turut berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan dipercayai pemilik premis bersama dengan tujuh warga asing yang yang disyaki ejen judi.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 29 tahun.


“Kesemua pekerja tersebut telah menjadi operator (ejen) pengendalian perjudian sejak tujuh bulan lalu dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

“Setiap mereka juga akan dibayar bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, sindiket tersebut beroperasi 24 jam dan berdasarkan kepada rekod dan transaksi mendapatu keuntungan kasar dalam sehari adalah sebanyak RM6,000.

“Jumlah keuntungan keseluruhan hasil aktiviti bagi tujuh bulan mencecah RM1.26 juta,” katanya.

Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan komputer, modem dan peralatan lain yang digunakan menjalankan kegiatan perjudian tersebut.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi ini akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai,” katanya. — DayakDaily