Dua lelaki ditangkap bersama dadah dalam pondok

Gambar komposit dadah dan motosikal yang dirampas dalam serbuan tersebut.

KUCHING, 12 Nov: Dua lelaki ditangkap disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan ke atas sebuah pondok di Kampung Midin, Semariang di sini semalam (Khamis).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 27 dan 32 tahun ditangkap selepas anggota serbuan menemui dadah jenis syabu kira-kira seberat 52.38 gram di dalam pondok tersebut.

Katanya, dadah tersebut ditemui di dalam satu paket plastik lutsinar di atas lantai pondok tersebut.


“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai satu paket plastik lutsinar di dalamnya masing-masing terdapat serbuk dan ketulan kejernihan disyaki dadah jenis syabu di atas lantai pondok tersebut.

“Kedua-dua suspek kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B 1952,” katanya.

Turut dirampas di lokasi serbuan ialah sebuah motosikal jenis Yamaha R25 dipercayai milik seorang daripada suspek.

Dedahnya juga, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine.

“Suspek yang berumur 32 tahun juga didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya. — DayakDaily