PKR Sarawak jangka PRN diadakan 2 Jan 2022

Abun Sui Anyit

KUCHING, 12 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berpendapat bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan pada atau selepas 2 Jan 2022.

Ketua Penerangan Parti, Abun Sui Anyit berkata, hal ini kerana kenyataan media terbaharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini (12 Nov) memaklumkan bahawa mesyuarat khas berkaitan PRN Sarawak hanya akan diadakan pada 24 Nov 2021.

“Kenyataan media tersebut sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa PRN Sarawak tidak diadakan seawal Disember seperti ditularkan pihak tertentu.


“PKR Sarawak telahpun menulis kepada SPR berkaitan cadangan-cadangan daripada pihak kami.

“Saya berharap SPR bersedia untuk memanggil wakil parti politik yang bertanding untuk turut serta di dalam mesyuarat pada 24 Nov kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran ini, Abun turut menjangkakan tarikh PRN Sarawak akan jatuh pada atau selepas 2 Jan 2022.

“Lagipun Darurat Sarawak 2021 sepatutnya tamat pada 2 Feb 2022.

“Justeru PKR Sarawak berpendirian bahawa Undi18 patut diambil kira hak mereka untuk mengundi selepas 31 Dis 2021,” katanya lagi. — DayakDaily