Pusaka: Nilai ekspot produk kayu pada suku pertama turun 11 peratus

Cutting chainsaw. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, April 15: Prestasi industri perkayuan Sarawak berdasarkan nilai eksport produk kayu sepanjang suku pertama tahun 2020 menunjukkan penurunan sebanyak 11 peratus.

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) Hashim Bojet berkata, jumlah nilai eksport dari Sarawak bagi Januari hingga Mac 2020 adalah RM1.1 bilion berbanding RM1.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Penurunan nilai eksport produk perkayuan Sarawak disebabkan dua faktor utama iaitu situasi ekonomi global ketika ini yang masih tidak menentu dengan penularan wabak Covid-19.


“Dan pasaran telah beralih kepada produk nilai tambah lebih tinggi,” menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Hashim, papan lapis kekal sebagai produk perkayuan utama yang dieksport oleh Sarawak namun berkurangan sebanyak 9.5 peratus.

Katanya, nilai eksport papan lapis bagi Januari hingga Mac 2020 ialah RM645 juta berbanding dengan RM713 juta pada Januari hingga Mac 2019.

Menurut beliau lagi, produk perkayuan utama yang dieksport sepanjang suku pertama tahun ini ialah papan lapis (RM645 juta), balak (RM143
juta), kayu gergaji (RM128 juta), papan gentian (RM73 juta) dan kayu racik (RM61 juta).

Mengulas lanjut, Hashim mendedahkah Jepun kekal sebagai pengimport tertinggi bagi papan lapis dengan nilai RM433 juta.

“Manakala India merupakan pembeli kayu balak tertinggi dengan nilai RM76 juta dan Timur Tengah adalah pasaran utama bagi kayu gergaji.”

Selain itu tambah beliau lagi, Jepun juga kekal pasaran utama bagi keseluruhan produk perkayuan Sarawak bagi tempoh suku pertama 2020 dengan nilai eksport RM565 juta.

Namun dedah beliau, ianya menunjukkan penurunan sebanyak 14 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 iaitu bernilai RM661 juta.

Selain Jepun, empat lagi pasaran terbesar produk perkayuan Sarawak bagi tempoh suku pertama tahun 2020 (Januari hingga Mac 2020) ialah Timur Tengah (RM155 juta) meningkat sebanyak 39 peratus berbanding RM111 juta.

India (RM85 juta) menurun sebanyak 18 peratus berbanding RM 104 juta, Taiwan (RM72 juta) meningkat 2.2 peratus berbanding RM70 juta dan Korea (RM58 juta) menurun sebanyak 16 peratus berbanding RM69 juta tempoh yang sama tahun lepas. — DayakDaily