Projek Sarawak-Sabah Link Road diteruskan, kata Fadillah

Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Ogos: Kerajaan akan tetap meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf.

Menurut beliau, ia akan dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 1 dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut dan Fasa 2 dari Kampung Pa’ Berunut ke Long Lama.


“Setakat kini, surat niat telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 7 Julai, 2020 manakala SST akan dikeluarkan apabila kontraktor memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam dokumen tender,” katanya.

Fadillah berkata demikian pada ucapan penggulungan Kementerian Kerja Raya (KKR) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Bagi projek Lebuh Raya Trans Borneo pula, beliau berkata projek tersebut akan tetap diteruskan namun keutamaan akan diberikan kepada penyiapan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan Projek SSLR terlebih dahulu.

Tambah Fadillah, status kemajuan keseluruhan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sehingga Jun 2020 adalah sebanyak 52 peratus.

“Sehingga 31 Julai 2020, dua daripada 11 pakej kerja Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak iaitu pakej 1 dari Telok Melano ke Sematan telah dibuka pada Januari 2019.

“Manakala pakej Kick Off Project (KOP) dari Persimpangan Nyabau ke Bakun sepanjang 43 km telah disiapkan pada Disember 2019,” ujar beliau.

Menurut Fadillah lagi, JKR Sarawak selaku pegawai penguasa akan menggiatkan lagi pemantauan berterusan di sepanjang jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Katanya, ia bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut spesifikasi, kualiti dan selamat digunakan oleh pengguna jalan raya.

Bagi cadangan MP Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing untuk menaiktaraf keseluruhan jalan dari persimpangan Bintulu ke Samalaju kepada dua lorong dua hala, KKR jelas Fadillah  akan membincang cadangan tersebut ke Unit Perancang Ekonomi(EPU) di Jabatan Perdana Menteri(JPM) untuk kelulusan dalam RMK-12.-DayakDaily