Kerja pembaikan cerun Bukit Binong di Serian bermula Ogos ini — Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Ogos: Kerja-kerja pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Bukit Binong dijangka bermula pada bulan Ogos 2020.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah meluluskan kerja-kerja pembaikan tersebut dengan peruntukan bernilai RM5 juta.

“Bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya di lokasi tersebut juga, kementerian telah memperuntukan RM350 ribu bagi meningkatkan aspek keselamatan jalan melalui program ‘blackspot treatment’ yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Kementerian Kerja Raya (KKR) pada persidangan Dewan Rakyat sebagai menjawab pertanyaan MP Serian Datuk Seri Richard Riot.


Menurut Fadillah lagi, program ‘blackspot treatment’ akan melibatkan skop penggantian perabot jalan, pemasangan papan tanda keselamatan dan lampu jalan jenis solar di kawasan terpilih yang kritikal.

Dalam pada itu, Fadillah turut memaklumkan bahawa KKR telah melaksanakan penyenggaraan rutin di Bahagian Serian dengan peruntukan bernilai RM3.5 juta setahun.

Manakala peruntukan bagi penyenggaraan berkala penurapan daripada tahun 2017 hingga 2020 adalah bernilai RM11.25 juta.

“Pada tahun 2020, sejumlah lima projek bernilai RM 3.9 juta telah diperuntukan untuk kerja-kerja menurap semula jalan yang melibatkan Jalan Serian-Tebedu,” ujar Fadillah. — DayakDaily