Projek penempatan baharu di Tatau atasi isu pertambahan penduduk

Abang Johari (duduk tengah) pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan di Tatau. Foto ihsan dari Ukas.

BINTULU, 11 Jan: Satu projek penempatan baharu sedang dibangunkan di Lot 170, 287 dan 290 Buan Land District, sekitar 2.5 kilometer daripada Pekan Tatau dan dijangka akan siap dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perumahan tersebut bertujuan menampung pertambahan penduduk selain mengatasi masalah banjir yang kerap melanda pekan tersebut.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun  Openg berkata, projek bakal memberi manfaat khasnya kepada golongan B40 dan juga M40 untuk memiliki rumah sendiri pada kos yang rendah.


Menurut beliau, skim pembayaran khas diwujudkan untuk golongan tersebut di mana Kerajaan Sarawak akan menanggung kos infrastruktur termasuk kos utiliti bagi projek berkenaan.

“Ini bermakna, kos infrastruktur itu tidak akan termasuk dalam nilai keseluruhan rumah.

“Jadi, mereka boleh memiliki sebuah rumah dengan keluasan tanah sekitar 10 hingga 12 ‘point’ pada harga yang rendah,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan di Tatau pada Selasa (10 Jan).

Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut akan menanggung kos deposit sebanyak RM10,000 untuk pembayaran rumah di bawah projek itu.

“Kerajaan Sarawak akan membayar deposit bagi rumah tersebut. Pembeli hanya perlu membuat bayaran secara bulanan untuk pinjaman di mana ia disediakan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd dengan bayaran serendah RM300.

“Ini merupakan skim perumahan yang tidak terdapat di mana-mana tempat lain di Malaysia,” ujarnya.

Difahamkan, dana yang diperuntukkan bagi projek tersebut melibatkan dana kerajaan persekutuan sebanyak RM18.5 juta untuk kerja-kerja infrastruktur dan dana kerajaan negeri sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja perumahan.

Pembangunan projek itu melibatkan kawasan seluas 23.5 hektar dengan menempatkan 87 unit rumah jenis ‘double storey detached’ yang direka bentuk seperti projek Sungai Bedaun, Kuching. — Dayakdaily