Projek Lebuhraya Pan Borneo antara fokus utama KKR

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 5 Okt: Fokus Ketujuh di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMke-12), iaitu melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun antara agenda penting Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menurut Menterinya Dato Sri Fadillah Yusof, antara komitmen KKR adalah untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo (Sabah dan Sarawak) yang mana sebahagiannya telah dimulakan dan sedang dalam pembinaan.

“Manakala bagi pakej kerja yang belum dilaksanakan kerana ketiadaan peruntukan, Kementerian akan sentiasa berusaha memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan.


“Atau sekiranya dapat dilaksanakan dengan kaedah-kaedah lain yang dipersetujui oleh Kerajaan,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan di sidang Parlimen hari ini.

Tambah Fadillah, sehingga 30 Sept, KKR telah membelanjakan sebanyak RM3,009 juta bersamaan 56.1 peratus daripada peruntukan pembangunan tahun 2021 sebanyak RM5,346 juta.

Selain itu katanya, KKR komited memastikan penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,492km Lebuhraya Pan Borneo.

“Ini termasuk kerja-kerja penyenggaraan jalan serta program-program pembangunan yang melibatkan keselamatan pengguna jalan raya yang berskala kecil tetapi memberi impak yang besar kepada rakyat selaku pengguna jalan raya.

“Dengan wujudnya rangkaian jalan raya yang lengkap di Kepulauan Borneo serta negeri-negeri kurang membangun, bukan sahaja keterangkuman antara wilayah dapat dicapai, malah ketersambungan dalam kawasan subserantau akan terus dipertingkat,” ujar beliau.

Bagi menjawab pertanyaan MP Sibuti berhubung cadangan pemasangan menara komunikasi dan laluan fiber optik sejajar dengan Lebuhraya Pan Borneo, Fadillah berkata isu tersebut dalam perhatian Kementerian.

Jelas beliau yang juga MP Petra Jaya, operasi untuk pengalihan utiliti fiber optik sedia ada sedang dijalankan dan dipantau oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ini termasuk pemasangan menara komunikasi yang berada di dalam bidang kuasa SMA,” katanya. — DayakDaily