Tiada wakil PM dalam rundingan pemberian peruntukan kepada pihak pembangkang – Fadillah

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Fadillah.

KUCHING, 13 April: Tiada wakil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rundingan pemberian peruntukan bagi pihak pembangkang dari kerajaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, perkara itu telah disahkan sendiri oleh Anwar.

“Beberapa kenyataan daripada Ahli Parlimen blok pembangkang mendakwa sebelum ini sudah ada perjanjian dikemukakan oleh wakil Perdana Menteri.


“Tetapi saya sendiri pun tidak tahu dan saya mendapatkan pengesahan daripada Perdana Menteri dan beliau juga kata tidak ada.

“Jika itulah apa yang mereka kata, berbincanglah dengan wakil Perdana Menteri itu tak perlulah bincang dengan saya lagi,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aildilfitri di Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan bagi membincangkan isu pengagihan peruntukan tersebut.

Katanya, pemimpin Perikatan Nasional (PN) sudah berjumpa dengannya di Parlimen 19 Mac lepas.

“Dalam perjumpaan itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin datang bersama Datuk Seri Takiyuddin Hassan danDatuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Saya tanya apa kemahuan mereka? Hamzah kata mereka mahu peruntukan dan apa sahaja syarat itu terserah kepada kerajaan,” kata Fadillah. ā€” DayakDaily