Program “Masyarakat Tanpa Tunai dan Masa Depannya” anjuran Saberkas akan diadakan Ogos 10

Dr Abdul Rahman (empat dari kanan) bersama ahli-ahli Saberkas Cawangan Kota Sentosa dan Cawangan Pantai Damai menunjukkan aplikasi e-wallet dalam telefon pintar selepas mengadakan sidang media program "Masyarakat Tanpa Tunai dan Masa Depannya" di Kuching semalam.

KUCHING, Ogos 8: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Kota Sentosa dan Cawangan Pantai Damai akan bersama mengadakan program “Masyarakat Tanpa Tunai dan Masa Depannya” bagi mendidik masyarakat tentang kaedah pembayaran tanpa tunai mengunakan telefon pintar di Kompleks Belia Dan Sukan Kuching, di sini, Ogos 10 depan.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar yang juga naib presiden Saberkas, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata program berkaitan ekonomi digital ditekankan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, akan bermula jam 3 petang sehingga 5 petang dan dijangka dihadiri maksima seramai 150 orang peserta.

“Ini kerana Saberkas Pantai Damai dan Saberkas Kota Sentosa ingin mengajak masyarakat dan belia di negeri ini menjadi masyarakat tanpa tunai. Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, Australia, China dan negara maju lain, kebanyakan masyarakat disana sudahpun menjadi tanpa tunai,” katanya ketika mengadakan sidang media program terbabit bersama ahli Saberkas Cawangan Pantai Damai dan Cawangan Kota Sentosa, di Pejabat Khidmat ADUN Pantai Damai, di Jalan Haji Taha, di sini, semalam.


Sidang media itu juga dihadiri pengerusi pengelola program yang juga Setiausaha Saberkas Kota Sentosa, Eugene Yap dan naib pengerusi pengelola program yang juga naib pengerusi Saberkas Pantai Damai, Mohd Hasfa Salleh.

Dr Abdul Rahman menjelaskan kebanyakan masyarakat tanpa tunai di negara maju kini membayar wang mengunakan telefon pintar mereka yang mengunakan aplikasi e-wallet samada Sarawak Pay, Boost Pay dan yang terbaharu WeChat Pay.

“Kini semua orang ada telefon pintar dan semua boleh membayar mengunakan e-wallet dengan transaksinya amat mudah dan cepat dan boleh mencegah pemalsuan wang dan juga kecurian wang kerana setiap transaksi boleh dijejaki serta diketahui siapa yang membayar atau dibayar kamu,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mensasarkan program itu diserta belia yang menjadi usahawan dan mahu memperluaskan perniagaan secara e-dagang dengan setakat ini sudah seramai 70 hingga 80 orang yang sudah mendaftar untuk menyertai program terbabit yang kali pertama diadakan Saberkas. — DayakDaily