Miliki senapang angin dan dadah, polis cekup tiga pemuda

Kelihatan senapang angin yang dirampas.

SERIAN, Ogos 8: Polis menahan tiga lelaki selepas disyaki memiliki senapang angin dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ensebang Jaya, Balai Ringin dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, ketiga-tiga suspek yang diberkas itu berusia antara 20 hingga 23 tahun.

Menurut beliau, kejayaan serbuan dan tangkapan itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dibuat sebelum ini.

“Semasa serbuan itu, pasukan polis telah menemui serbuan sebuah beg yang diletakkan di atas satu meja di ruang tamu rumah tersebut dan di dalamnya berisi dua straw tiub berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksan lanjut di rumah tersebut telah menemui selaras senapang angin di dalam sebuah bilik bersama dengan 136 biji peluru timah,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, ketiga-tiga lelaki tersebut kemudian ditangkap serta barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua tangkapan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan selanjutnya.

“Ujian air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12 (3) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” ujarnya. ā€” DayakDaily