MALUDAM, Mac 18: Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Batang Lupar diteruskan untuk kali kedua selepas program pertama di Pusa mendapat sambutan yang cukup hangat.
Promosi harga bagi barangan asas, bahan mentah dan runcit seperti tepung, ayam mentah, ikan segar, telur, beras dan minyak masak adalah antara yang dijual di bawah harga pasaran.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar turut berkesempatan berkunjung ke tapak jualan bertempat di Kampung Maludam.
Progam itu telah dikelola oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama FAMA dan pasaraya tempatan.
“Jualan Sentuhan Rakyat seperti ini menawarkan harga barangan asas yang rendah merupakan menifestasi keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan bebanan rakyat dan meringankan kos sara hidup terutamanya kepada masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Rohani, memandangkan sambutan yang ditunjukkan sangat memberangsangkan, program seperti itu akan diteruskan di kawasan lain di kawasan Parlimen Batang Lupar.
Katanya, barangan yang mendapat permintaan tinggi adalah seperti tepung gandum yang dijual serendah 15 sen untuk sekilo.
“Selain itu, sebanyak tiga tan barangan asas iaitu tepung, minyak dan gula turut disumbangkan dengan harga terendah,” ujarnya. — DayakDaily