‘Kerajaan BN serah bantuan bukan bermusim’

Liwan (berdiri depan, dua belas dari kanan) merakamkan gambar bersama penduduk tempatan.

BELAGA, Mac 18: Kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan dan kehendak masyarakat di kawasan luar bandar bukannya secara bermusim tetapi berterusan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Menteri Muda Bekalan Air merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, konsep turun padang yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya dilakukan berterusan tidak hanya ketika menjelang musim pilihan raya sahaja.

Katanya, pelbagai pemberian bantuan oleh kerajaan tiada kena-mengena dengan pilihan raya kerana bantuan oleh wakil rakyat BN dilakukan tanpa mengira musim.


“Kerajaan yang diterajui BN sentiasa mengotakan janji berbanding pembangkang yang hanya tahu menabur janji-janji manis,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Bina Baru Gereja BEM Pekan Belaga di sini hari ini.

Liwan menambah, wakil rakyat BN juga sentiasa mendengar rintihan rakyat dan memberi bantuan tanpa mengira waktu kepada masyarakat akar umbi.

“Kita sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan masyarakat luar bandar demi kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya. ā€” DayakDaily