PJKM kini cecah nilai jualan RM54.548 juta — Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 25 Mei: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini mencatatkan jualan mencecah RM54.548 juta dengan kehadiran seramai 2.796 juta pengunjung sejak diperkenalkan pada 2 Disember 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga 20 Mei, PJKM telah dilaksanakan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Katanya, ini termasuk kawasan Parlimen pembangkang yang meliputi 1,702 lokasi dengan purata tujuh lokasi setiap kawasan parlimen.


“PJKM yang merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu meringan beban kos sara hidup rakyat telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

“Ini diakui sendiri oleh rakyat Malaysia yang mengunjungi PJKM berdasarkan temubual di lokasi-lokasi program,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang pelaksanaan PJKM, tambah Nanta, pelbagai barangan keperluan harian dijual dengan harga istimewa sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat.

Antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung adalah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung dan sayur-sayuran.

Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah hanya sehingga 31 Mac 2022 sahaja.

Walau bagaimanapun, atas permintaan ramai, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub telah bersetuju supaya pelaksanaan PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022. —DayakDaily