Program Jualan Keluarga Malaysia kini diperluaskan ke peringkat DUN – Nanta

Nanta (kanan) semasa walkabout di tapak perlaksanaan PJKM DUN Bukit Semuja hari ini.

KUCHING, 11 Jun: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan pada 2 Disember 2021 kini diperluaskan ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan kejayaan pelaksanaan program di semua kawasan parlimen di seluruh Malaysia.

Pada hari ini, Nanta telah bersama Adun N23 Bukit Semuja John Ilus melakukan walkabout di tapak perlaksanaan PJKM DUN Bukit Semuja dan melihat sendiri bagaimana respon penduduk setempat.


Program bertujuan mengurangkan kos sara hidup di mana harga yang ditawarkan sehingga 20 peratus lebih murah dari harga setempat.

“YB Ahli Parlimen dan Adun setempat telah memberikan sumbangan untuk menjayakan PJKM.

“Melalui sumbangan tersebut, ia dapat membantu dalam mengurangkan harga barangan terpilih yang ditawarkan dalam PJKM ini di samping harga yang memang rendah yang ditawarkan oleh rakan-rakan strategik PJKM setempat,” kata Nanta.

Tambah beliau yang juga MP Kapit, sehingga 20 Mei 2022, kementerian telah melaksanakan PJKM di semua 222 kawasan parlimen seluruh negara termasuk kawasan parlimen pembangkang yang meliputi 1,702 lokasi dengan purata 7 lokasi setiap kawasan parlimen.

Katanya, seramai 2.796 juta pengunjung telah dicatatkan menghadiri PJKM dengan rekod hasil jualan mencecah RM54.548 juta.

“Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah hanya sehingga 31 Mac 2022 sahaja.

“Walau bagaimanapun, atas permintaan ramai, Perdana Menteri telah bersetuju supaya pelaksanaan PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022,” ujar beliau.

Di peringkat negeri Sarawak, PJKM telah dilaksanakan di 154 lokasi meliputi semua kawasan parlimen dengan jumlah jualan mencecah RM4.4juta dengan pengunjung seramai 203,244 orang.

Antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung adalah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung dan sayur-sayuran. — DayakDaily