Program Jualan Keluarga Malaysia catat jualan bernilai RM22.85 juta dalam masa tiga bulan

Orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia.

KUCHING, 21 Feb: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) telah mencatatkan nilai jualan berjumlah lebih dari RM22.85 juta setakat 14 Feb tahun ini.

Program terbabit yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Dis tahun lepas telah dilaksanakan di 775 lokasi seluruh negara dengan jumlah seramai 1,181,376 pengunjung.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), maklumbalas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala.


Para pengguna turut mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat.

“Sehubungan dengan itu, PJKM kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen luar bandar yang menawarkan barang-barang keperluan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih.

PJKM dijalankan setiap minggu serentak di seluruh negara di kawasan parlimen yang terpilih di lokasi-lokasi yang berdekatan dengan golongan sasar iaitu B40 dan M40.

Biasanya PJKM diadakan selama dua hari di hujung minggu mengikut negeri seawal dari jam 8 pagi hingga 4 petang bergantung kepada stok barang yang ada.

KPDNHEP turut mengingatkan semua peniaga agar sentiasa beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan selain berharap pengguna tidak melakukan pembelian panik yang akan mengganggu kestabilan bekalan dan harga barang.

“Lebih dari 2,200 pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran,” katanya lagi.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai boleh menyalurkan ke talian Whatsapp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui email ke aduan@kpdnhep.gov.my. — DayakDaily