Program #IkatTepi mengagihkan 300 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai

Abang Abdul Wahap (tengah) bersama kakitangan DBKU mengagihkan bumbur lambuk kepada penguna jalan raya di sekitar Tebingan Kuching dalam program Program #IkatTepi: Sungkey By The Waterfront.

KUCHING, Jun 9: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menyertai Program #IkatTepi: Sungkey By The Waterfront dianjurkan SPATIVATE berhampiran James Brooke Bistro, Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Dalam program terbabit yang bermula jam 4.30 petang sebanyak 300 bungkusan bumbur lambuk telah habis diserahkan kakitangan DBKU kepada orang ramai dan penguna kenderaan sekitar Tebingan Kuching sebagai hidangan berbuka puasa.

Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai telah merasmikan program terbabit yang dianjurkan SPATIVATE bagi menyediakan makanan dan tapak berbuka puasa kepada orang awam sepanjang bulan Ramadan.


DBKU dalam kenyataan medianya berkata melalui program itu pihak penganjur mengajak rakan kolaborasi terdiri dari agensi, persatuan dan syarikat koperat tempatan untuk membuat pengagihan makanan secara percuma kepada orang ramai di kawasan terbabit sebelum waktu berbuka.

Berikutan itu, DBKU kali ini menyertai program terbabit dengan mengagihkan bumbur lambuk secara percuma kepada orang ramai dan berharap program seumpama itu dapat merapatkan lagi kerjasama erat antara agensi, persatuan dan syarikat korporat untuk berganding bahu dalam memperkasakan program kebajikan dan kemasyarakatan. — DayakDaily