Ular tedung masuk dapur, sebuah keluarga terkejut sebelum berbuka puasa

Anggota APM menangkap ular tedung di Kampung Tanah Hitam, Sematan.

SEMATAN, Jun 9: Sebuah keluarga yang bersedia untuk berbuka puasa terkejut dengan kehadiran seekor ular tedung di dapur rumah mereka di Kampung Tanah Hitam di sini petang tadi.

Kehadiran reptilia berbisa sepanjang 0.9 meter itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan kira-kira pukul 6.10 petang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lundu, Leftenan (PA) Azan Sadie berkata, sepasukan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudian diarahkan ke kampung berkenaan sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu.

Jelasnya, sebaik tiba di kampung berkenaan, anggota APM mendapati seekor ular tedung masih berada di dapur rumah pengadu.

“Anggota APM kemudian melakukan kerja-kerja menangkap ular tedung itu dengan menggunakan alat penjerut khas.

“Pada mulanya, reptilia itu bertindak agresif, namun usaha gigih anggota APM berjaya menangkap ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azan, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tedung itu.

“Operasi menangkap ular itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.33 malam,” ujarnya. — DayakDaily