1,500 peserta dari 7 negara tiba di Kuching untuk acara larian Hash antarabangsa

Snowdan (tengah) menekan butang pelancaran Larian Hash Antarabangsa Nash Hash Sarawak Ke-2 bersama ahli jawatankuasa penganjuran acara itu di majis makan malam mengalukan ketibaan pelari acara terbabit.

KUCHING, Jun 9: Keseluruhannya seramai 1,500 pelari dari tujuh negara telah tiba dibandaraya ini bagi menyertai acara Larian Hash Antarabangsa Nash Hash Sarawak Ke-2 yang akan bermula di pekan Bau jam 12 tengahari esok.

Pelari terbabit adalah dari negara ini, Indonesia, China, Taiwan, Filipina, Brunei dan Singapura dengan ketibaan mereka telah disambut di satu majlis makan malam di SJK Chung Hua No 3, Padungan, di sini, malam ini.

Acara terbabit esok terbahagi kepada Larian Survival bermula 12 tengahari, Larian Panjang bermula jam 2 petang, Larian Medium bermula jam 3pm, Larian Pendek bermula jam 4pm dan kemudian diakhiri dengan makan malam dan persembahan hiburan hash jam 7 petang.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan telah mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menghadiri majlis makan malam menyambut pelari acara terbabit dan merasmikan permulaan acara itu.

Sebahagian dari 1,500 pelari acara Larian Hash Antarabangsa Nash Hash Sarawak Ke-2 dari tujuh negara yang diraikan di majlis makan malam di SJK Chung Hua No 3, Padungan, Kuching.

Snowdan berkata berikutan sehingga seramai 1,500 pelari dari tujuh negara menyertai acara itu tahun ini, kerajaan negeri akan pasti menyokong penganjuran acara itu lagi tahun hadapan supaya dapat terus mempromosikan Sarawak sebagai destinasi menarik bagi mengadakan acara hash yang mengabungkan sukan berlari sambil melancong dan berhibur.

“Kami berharap peserta acara hash ini kemudiab akan juga dapat menjadi duta kepada Sarawak dan mendedahkan mengenai tempat pelancongan menarik yang ada di negeri ini di negara mereka,” katanya dan mendedahkan kali pertama acara terbabit diadakan di negeri ini ialah di bandaraya Kuching pada April 16, 2016.

Katanya tahun ini acara itu akan diadakan di pekan Bau dengan dianjurkan Siniawan Hash House Harriers & Harriettes bersama Majlis Daerah Bau dan juga dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep dan ADUN Serumbu, Miro Simuh. — DayakDaily