BELADIN, Mac 11: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini mengumumkan program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) akan menjadi salah satu inisiatif Pengurusan Program Transformasi Sosial (MOST) sekolah di Malaysia.
Menterinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim, berkata MOST adalah konsep pembelajaran dalam komuniti bagi memperkasa pembangunan pelbagai aspek sosio ekonomi masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat yang tidak mengira usia.
Katanya, program FACE sekiranya dimanfaatkan sebaiknya akan memberikan impak yang amat positif kepada komuniti bahkan konsep program itu dilaporkan sebagai contoh perlaksanaan MOST sekolah di peringkat antarabangsa.
“FACE merupakan program jangka panjang yang bertujuan untuk mendaya-upayakan komuniti supaya mereka menjadi lebih sejahtera.
“Dalam pelaksanaan FACE, telah diadakan kajian Indek Kesejahteraan Keluarga (IKK) komuniti di Kampung Beladin pada September 2016 dan berada pada tahap baik dengan skor 8.3 daripada skor penuh 10,” katanya semasa Program Sentuhan Kasih anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Dewan Masyarakat Kampung Beladin dekat sini hari ini.
Rohani menambah, dalam kajian itu, tiga domain perlu diberi lebih tumpuan iaitu Domain Perumahan dan Persekitaran (5.55); Keluarga dan Teknologi Komunikasi (7.80) dan Kesihatan Keluarga (7.97).
Jelasnya, pada tahun ini, kerajaan akan menambah 14 lagi komuniti FACE menjadikannya sebanyak 32 komuniti.
“Sebagai makluman, program Sentuhan Kasih ini adalah yang pertama dilaksanakan di Kampung Beladin yang turut memberi penekanan dalam aspek keselamatan keluarga dan penjagaan kesihatan.
“Antara agensi yang terlibat ialah Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan beberapa badan bukan kerajaan yang lain,” katanya lagi.
Program sehari ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Beting Maro Razaili Gapor, pengerusi LPPKN Datuk Mariam Mas Yacob, ketua pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah, pegawai daerah Pusa Bujang Budin, dan ketua pegawai eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Datuk Zulkiply Ramli. — DayakDaily