Program 1AZAM ringankan beban dan tingkatkan ekonomi rakyat

Penyerahan barangan di bawah Program 1AZAM kepada para penerima.
Advertisement

SRI AMAN, April 27: Seramai lapan orang peserta 1AZAM di kawasan Parlimen Batang Lupar, Sarawak hari ini telah menerima bantuan peralatan perniagaan di bawah Program 1AZAM (Niaga dan Khidmat).

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, antara peralatan yang diberikan untuk memulakan perniagaan adalah seperti mesin memerah tebu, mesin pengisar air batu, mesin menguli tepung, penyembur air untuk cuci kereta dan gerai menjual burger.

Jelas beliau, perkakasan tersebut diberikan kepada pemohon yang layak serta berkemampuan untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi meningkatkan ekonomi.

Advertisement

“Barangan 1AZAM ini dapat meringankan kos permulaan perniagaan mereka dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi dengan syarat mereka perlu berusaha gigih mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Setiap barangan 1AZAM yang diberikan adalah berdasarkan permohonan jenis perniagaan serta kelayakan pemohon. Rata-rata penerima teruja dan gembira dengan kemudahan serta sumbangan yang diberikan sekali gus meringankan beban serta meningkatkan lagi skil perniagaan mereka,” katanya di sini hari ini.

Rohani menambah, ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa kumpulan sasar supaya boleh berdikari demi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan sosial kerajaan.

Katanya, Program 1AZAM juga membolehkan para peserta mengadakan jalinan kerjasama (networking) dalam berkongsi idea dan pengalaman di dalam bidang perniagaan serta keusahawanan.

“Sejak dilaksanakan pada 2010 sehingga Disember 2017, seramai 203,398 orang telah menerima manfaat yang terdiri daripada bidang perniagaan, pekerjaan dan perusahaan.

“Pemilihan peserta Program 1AZAM adalah merujuk kepada peserta yang telah berdaftar dan disahkan dengan sistem eKasih,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan 1AZAM, Mohamad Halemi Jamel berkata, dia amat bersyukur, teruja dan sangat berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan kerajaan yang dapat membantu diri serta keluarganya untuk menambahbaik perniagaan sedia ada.

“Saya juga berjanji akan mempelbagaikan perniagaan ini agar ia lebih menarik dan digemari pelanggan,” katanya yang menerima barangan 1Azam untuk Projek Perniagaan ABC dan Cendol. — DayakDaily

Advertisement