Polis sedang buru suspek kes samun bersenjata di kedai 24 jam

Polis menahan seorang suspek pada April 16 lalu.

KUCHING, April 27: Polis kini sedang memburu seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun bersenjata di kedai 24 jam di sekitar pusat bandar raya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, seorang suspek lelaki iaitu, Mohd Hisham Meran, 24, yang beralamat di No. 171A, Lorong 6E, Taman Malihah, Jalan Matang di sini masih bebas dan polis sedang mengesannya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek yang masih bebas ini diminta menghubungi balai polis yang terdekat.

Suspek yang masih bebas dan dikehendaki polis.

“Dengan tertangkapnya salah seorang dari ahli kumpulan itu pada April 16 lalu, polis yakin telah berjaya menyelesaikan 15 kes samun kedai serbaneka 24 jam yang dilaporkan tahun ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Task Force Samun JSJ IPK yang telah bertungkus-lumus selama hampir empat bulan untuk menumpaskan kumpulan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, pada April 16 lalu, seorang suspek berumur 22 tahun berjaya diberkas kira-kira pukul 1 petang di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang.

Katanya, ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu.

“Polis juga merampas sebuah motosikal Honda EX5 di rumah suspek yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” ujarnya lagi. — DayakDaily