Presiden PDP yakin ahli parti akan menyokong keputusan menubuhkan, menyertai GPS

Tiong menjawab soalan media ketika meninggalkan Ibupejabat PBB, di Jalan Bako, Kuching, hari ini.

KUCHING, Jun 12: Parti Demokratif Progresif (PDP) yakin ahlinya akan menyokong sepenuhnya keputusan parti itu bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak lain untuk keluar dari BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata demikian apabila diminta meluahkan harapannya dari penyokong dan ahli parti itu selepas empat parti komponen BN Sarawak termasuk PDP sebulat suara membuat keputusan terbabit.

“Saya rasa penyokong (PDP) di kawasan masing-masing ataupun ahli PDP memang akan bersetuju dan memberikan sokongan penuh diatas keputusan ini,” katanya apadila ditemuramah ketika meninggalkan Ibupejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini, hari ini.

Tiong bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap keputusan terbabit kerana segalanya sudah dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas mesyuarat itu.

“Apa lagi (yang hendak dikatakan) kerana Ketua Menteri sudah memberikan komennya,” katanya.

Fatimah (kiri) kelihatan selepas menghadiri mesyuarat di Ibupejabat PBB, di Jalan Bako, Kuching hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berharap penyokong dan ahli empat parti bekas komponen BN Sarawak terbabit tidak tersalah anggap tindakan mereka keluar dari BN dan menubuhkan GPS adalah bagi menyertai Pakatan Harapan.

“Kami (GPS) akan dapat bekerjasama (dengan PH) tetapi bukan bermakna kami menyertai PH,” katanya, sambil mengulas kerjasama itu perlu kerana Sarawak masih kekal dalam Persekutuan Malaysia dan ketika ini kerajaan pusat ialah PH.

Fatimah juga menjelaskan yang keputusan empat parti itu keluar dari BN adalah sesuatu yang berat dibuat kerana sudah sekian lama mereka bersama BN dan mereka ibarat suami isteri tetapi terpaksa bercerai dan berpisah disebabkan keadaan politik semasa yang sudah berubah. — DayakDaily