Premis peniagaan berdepan kompaun jika gagal patuhi SOP

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Kapit melakukan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP sepanjang perlaksaan PKPB di Bahagian Kapit.
Advertisement

KAPIT, 24 Jan: Pemilik premis peniagaan akan berhadapan dengan kompaun berjumlah RM1,000 jika gagal atu dengan sengaja tidak mematuhi Proisedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kapit Al Redzamani Abdul Razak berkata, menerusi pemantuan yang dilaksanakan, tahap pematuhan oleh setiap premis peniagaan dan individu yang mengunjungi premis tersebut berada pada tahap yang memuaskan.

“Pada Disember tahun lalu, pegawai-pegawai KPDNHEP telah diberikan kuasa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memeriksa serta mengenakan tindakan kompaun kepada mana-mana individu atau premis yang didapati tidak mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan.

Advertisement

“Sepanjang tempoh itu, belum ada lagi individu atau premis peniagaan di Bahagian Kapit ini dikenakan tindakkan kompaun di bawah akta berkenaan oleh pihak kita menerusi setiap pemantuan dan pemeriksaan yang kita lakukan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penurunan kuasa tersebut merangkumi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan No 11) 2020 P. U. (A) 301/ 2020; PPPPPB PKK (Pindaan No 12) P. U. (A) 308/2020; dan PPPPPB PKK (Pindaan No 8) P. U. (A) 254/2020.

Justeru ujar beliau, setiap Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mengenakan serta mengambil tindakkan terhadap ketidakpatuhan SOP berkaitan aktiviti-aktiviti dilarang yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antara kesalahan yang dipantau ialah pengurusan pelanggan seperti mengawal laluan keluar masuk pelanggan, meminimumkan kemasukan pelanggan dan penggunaan aplikasi MySejahtera.

“Selain itu, saringan kesihatan seperti pengambilan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal juga dipantau dan tindakan kompaun RM1,000 boleh dikenakan sekiranya didapati tidak mematuhi SOP PKPB,” katanya.

Al Redzamani, dalam pada itu, menggesa semua pihak khususnya kedai-kedai runcit, pasar awam dan pengguna untuk sentiasa berkerjasama memastikan sektor perdagangan, peruncitan dan pengedaran tidak menymbang kepada kadar peningkatan jangkitan Covid-19.

KPDNHEP secara umum ujarnya, sentiasa  konsisten dalam mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran, pemborongan dan peruncitan tidak terjejas.

Ujar beliau, penyeliaan itu juga adalah untuk memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan barangan pengguna dalan tempoh pandemik wabak tersebut.

“Pematuhan SOP ini juga dapat membantu kelancaran pembukaan aktiviti ekonomi di bawah sektor pengedaran perdagangan yang boleh memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna,” katanya. — DayakDaily

Advertisement