Ugut bunuh, jika failkan penceraian

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 24 Jan: Seorang lelaki ditangkap polis selepas dikatakan mengugut akan bunuh isteri sekiranya memfailkan penceraian terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek yang berusia 28 tahun beralamatkan dari Jalan Semenggok itu ditangkap di kawasan tanah perkuburan di Batu 14 Jalan Puncak Borneo iaitu sekitar jam 12.45 tengah hari semalam.

Jelasnya, tangkapan tersebut dibuat selepas isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut.


“Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari iaitu di rumah keluarga isteri apabila suspek mengugut akan membunuh isteri dan keluarganya jika memfailkan penceraian.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku ada mengugut isterinya,” katanya dalam satu kenyataam hari ini.

Jelasnya juga, suspek ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga akan dibuat saringan air kencing dan akan direman pada hari ini,” kata Aidil.

Selain itu, semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily