Premis memproses dan menyimpan kartrij percetakan tiruan tumpas

Pegawai KPDNHEP menyita kartrij percetakan tiruan.

KUCHING, 22 Dis: Sebuah premis yang disyaki menjadi tempat memproses dan menyimpan kartrij percetakan tiruan di Bandar Botanik di Klang, Selangor diserbu pada 15 Dis lepas.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan berdaftar terbabit.

“Ketika serbuan seramai 2 lelaki bukan warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan kartrij percetakan tersebut dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang.


“Premis merupakan sebuah rumah kediaman yang dijadikan tempat memproses, membungkus dan menyimpan barangan terbabit dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa,” kata Azman dalam kenyataan hari ini.

Hasil pengecaman awal tambah Azman, pihak pengadu mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut disyaki adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada 2 pembungkusan kartrij percetakan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sejumlah 79 unit kartrij percetakan, 1,815 unit pelekat hologram dan 120 unit cip pintar pelbagai jenama.

“Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM41,724 dan kesemua pekerja asing tersebut ditahan bagi membantu siasatan,’ katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. — DayakDaily