Fatimah: JKM sedia hadapi kemungkinan banjir

Fatimah di Majlis Hi-Tea Apresiasi Jabatan Kebajikan Masyarakat Bersama Rakan Strategik.

KUCHING, 22 Dis: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sedia menghadapi kemungkinan banjir, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N56 Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, Sarawak kini telah menyediakan sebanyak 19 pangkalan hadapan bagi memudahkan penghantaran bantuan makanan kepada mangsa.

“Ia berfungsi sebagai tempat menerima dan menyimpan bekalan makanan, pakaian dan keperluan asas untuk diedarkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“JKM juga telah mengenalpasti kawasan berisiko banjir dan semua anggota yang terlibat sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis Hi-Tea Apresiasi Jabatan Kebajikan Masyarakat Bersama Rakan Strategik di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata yang penting adalah tindakan pantas sekiranya mendapat makluman kejadian banjir.

“Ini yang saya nasihatkan kepada semua agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Turut hadir ADUN Simanggang Datuk Francis Harden dan Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad. — DayakDaily