KUCHING, 29 Jun: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) akan menganjurkan Persidangan Kawasan Wanita Negara Bersekutu Dunia (ACWW) Ke-13 untuk Asia Tenggara dan Timur Jauh mulai 4 hingga 6 Julai ini di hotel terkemuka di Kuching.
Pengerusi PPWS Dato Norhyati Mohd Ismail berkata PPWS telah dilantik menjadi tuan rumah kepada acara persidangan tersebut.
“Kira-kira 200 perwakilan wanita daripada persatuan dan ahli-ahli ACWW berdaftar dan bukan ahli akan menyertai persidangan ini.
“Terdapat beberapa perwakilan dari luar negara dan dalam negara seperti dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Singapura serta perwakilan dari Malaysia seperti dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat PPWS, Jalan Green di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norhyati memberitahu persidangan kali ini juga akan menyerlahkan bakat dan kemahiran yang ada pada wanita hari ini dalam konteks masyarakat.
“Persidangan PPWS-ACWW ini akan menyerlahkan kewibawaan wanita, tanpa mengira lokaliti atau negara mereka sebenarnya boleh membantu antara satu sama lain dalam seperti bidang pendidikan, alam sekitar, teknologi, kemajuan masyarakat dan kedudukan kepimpinan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, persidangan ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. — DayakDaily