Asrama Pusat Tingkatan 6 Daerah Limbang 50 peratus siap

Dr Abdul Rahman ketika ditemui di Limbang. Foto: Ukas

KUCHING, 29 Jun: Pembinaan Asrama Pusat Tingkatan 6 di daerah Limbang telah mencapai hampir 50 peratus siap.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembinaan asrama berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Kalau ia dapat siap, kita akan memulakan sesi persekolahan pada awal tahun hadapan atau penghujung tahun hadapan.


“Ini akan memudahkan pelajar lepasan Tingkatan 5 untuk meneruskan pelajaran di Pusat Tingkatan 6 ini yang silabusnya adalah sama seperti matrikulasi atau pra universiti,” katanya sebagai memetik Laporan Unit Komunikasi Awam Dan Penerangan Sarawak (Ukas).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak Tahun 2022 Peringkat Daerah Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya pada Sabtu (25 Jun) lepas.

Bercakap mengenai Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak itu, Dr Abdul Rahman berkata, ia memberikan peluang kepada pelajar lepasan Tingkatan 5 khususnya untuk melihat peluang-peluang meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak, katanya, ada menyediakan tempat untuk mereka di universiti dan institusi pengajian tinggi milik yayasan tersebut.

Antaranya adalah Universiti Swinburne, Universiti Curtin dan Universiti Teknologi Sarawak.

“Selain menyediakan tempat, kerajaan juga menyediakan biasiswa dan busari kepada para pelajar terutamanya golongan B40.

“Jadi saya menyeru kepada para pelajar menggunakan peluang keemasan ini untuk meneruskan pengajian.

“Ini terutamanya dalam bidang kemahiran separa dan kemahiran penuh dan bidang sains yang mana ini menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak yang telah pun menyediakan perancangan untuk menarik pelaburan berasaskan industri ke negeri ini,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Baucar Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah berjumlah RM180,000 secara simbolik kepada Pejabat Pendidikan Daerah Limbang melibatkan 40 sekolah di daerah Limbang dan hadiah kepada 36 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. — DayakDaily