PPN S’wak mahu membawa peladang wanita melawat ladang terbaik di Semenanjung

Sylvester (dua dari kanan) melawat pameran produk keluaran peladang wanita negeri ini di Program "Road Tour" NAFAS Bersama Bersama Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan Pertubuhan Peladang Kawasan.

KUCHING, Feb 12: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak bercadang membawa seramai mungkin peladang wanita di negeri ini yang menjadi ahli 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi melawat kawasan ladang pertanian terbaik yang terdapat di sekitar Semenanjung.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran mengemukakan cadangan tersebut berikutan ketika ini banyak kawasan ladang pertanian terbaik di negara ini terletak di Semenanjung dan ladang terbabit sudah jauh kehadapan dari pelbagai aspek berbanding kawasan ladang pertanian yang ada di negeri ini.

“Jadi, kalau dipersetujui (PPN Sarawak), saya mahu membawa ahli 28 PPK negeri ini terutamanya ahli wanita mereka bagi melawat ke negeri di Semenanjung bagi melihat ke ladang pertanian di sana, mungkin ke Johor atau Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan Majlis Program “Road Tour” PeladangNita Kebangsaan (NAFAS) Bersama Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan Pertubuhan Peladang Kawasan di sini, hari ini.


Sylvester (tengah) menyaksikan Pengerusi PeladangNita Negeri Sarawak, Eda Igar (kanan) menyampaikan cenderahati kepada ahli PeladangNita Kebangsaan (NAFAS) yang menyertai majlis perasmian Program “Road Tour” NAFAS Bersama
Bersama Pertubuhan
Peladang Negeri Sarawak dan Pertubuhan Peladang Kawasan.

Sylvester berkata pihaknya ketika ini sudah mula berbincang mengenai cadangan penganjuran lawatan terbabit dan akan berusaha mencari peruntukan kewangan bagi mengadakannya secepat yang mungkin dengan bantuan NAFAS.

“Saya mahu melihat peladang di negeri ini diberikan sebanyak mungkin pendedahan melalui lawatan terbabit dan kerana selama ini peladang kita kurang diberikan pendedahan tentang keadaan ladang di negeri lain yang sudah jauh kehadapan. Ini juga akan membolehkan mereka mengadakan kerjasama dengan peladang di Semenanjung,” katanya.

Disamping itu, beliau meminta agensi kerajaan berkaitan perladangan dan pertanian untuk mula lebih menumpukan kepada membantu kalangan peladang di Sarawak dan Sabah kerana kebanyakan peladang di Semenanjung sudah jauh kehadapan dari pelbagai aspek.

Ketika ini, keseluruhannya terdapat seramai 170,000 ahli 28 PPK di negeri ini dan seramai 60,000 ahli terbabit adalah peladang wanita termasuk yang mengusahakan ladang kelapa sawit dan lada hitam. — DayakDaily