Belia Sarawak digalakkan mencemburi bidang pertanian, pengeluaran makanan

Anthony (lima dari kiri) menyampaikan pinjaman Tekun Nasional keseluruhannya berjumlah RM198,000 kepada seramai 12 usahawan belia tani di daerah Bau.

BAU, Feb 12: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu lebih ramai golongan belia di negeri ini menjadi usahawan dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan supaya dapat membantu mengurangkan import makanan negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata Malaysia telah mengimport makanan dari luar negara berjumlah RM4.1 billion keseluruhannya tahun lepas.

“Sehubungan itu, saya berharap golongan belia di negara ini yang berminat menjadi usahawan supaya menceburi bidang pertanian dan pengeluaran makanan serta menyertai pelbagai program bantuan dan bimbingan dari kerajaan,” katanya ketika Majlis Perjumpaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional Bersama Belia Tani Daerah Bau, di Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Singai di sini, semalam.


Anthony berkata bagi belia di daerah Bau boleh menjadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep sebagai ikon dalam bidang keusahawanan kerana memulakan perniagaannya dari kecil suatu ketika dahulu.

Sementara itu di majlis tersebut, beliau telah menyampaikan pinjaman Tekun Nasional keseluruhannya berjumlah RM198,000 kepada seramai 12 usahawan belia tani di daerah Bau.

“Saya berharap penerima cek pinjaman Tekun ini yang majoritinya kaum wanita dapat mengunakan pinjaman ini bagi memperkembangkan perniagaan masing-masing dan pada masa sama, berani mengajak belia lain menceburi keusahawanan dalam bidang pertanian,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Tekun Nasional Berhad, Datuk Baharom Embi berkata setakat ini sebanyak RM246.3 juta telah disalurkan pihaknya kepada hampir seramai 30,000 usahawan di negeri ini sebagai pinjaman.

Manakala sehingga Januari 2018, melalui Skim Pembiayaian Agroprenuer Muda, pihaknya telah menyalurkan sebanyak RM288,000 kepada seramai 24 orang usahawan belia tani di Sarawak. — DayakDaily