Harley Davidson rempuh Honda Wave, seorang lelaki maut, seorang parah

Keadaan di tempat kejadian kemalangan yang melibatkan dua buah motosikal.

SRI AMAN, Feb 12: Tindakan seorang lelaki keluar simpang tanpa melihat pengguna jalan raya lain mengundang padah apabila dia maut dirempuh sebuah motosikal berkuasa tinggi di KM18, Jalan Lubok Antu-Sri Aman di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan mangsa, Dana Alal, 48, maut di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Sayat ke arah Engkilili.

Katanya, sebaik keluar dari simpang, motosikal yang ditunggangnya telah dirempuh sebuah motosikal Harley Davidson yang jalan lurus di laluan berkenaan.

“Perlanggaran kuat itu telah mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah sebelum menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.


“Begitu juga dengan penunggang Harley Davidson yang turut tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat.

Jelas beliau, mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily