KOTA SAMARAHAN, 21 Dis: Mahu bergaya pulang ke rumah panjang bagi menyambut perayaan Krismas menyebabkan seorang tukang gunting, Luis Lanie meminta majikannya memotong rambutnya dengan potongan paling menarik.
Luis, 23, bagaimanapun, tidak menjangka majikannya kemudian mengunakan segala kemahiran dan pengalaman bagi memotong rambutnya dengan motif seperti ukiran Dayak.
“Majikan saya yang juga pengajar guntingan rambut, Iszuan Abdullah membuat potongan rambut saya ini semalam,” menurut Luis yang bercadang mengambil cuti dan pulang ke Betong, 24 Disember ini.
Katanya selain mengunakan gunting biasa, potongan rambut yang rumit terbabit juga perlu mengunakan marker dan mata pisau kecil yang cukup tajam dan boleh disiapkan dalam masa satu jam setengah.
“Saya menyarankan sekiranya ada mahu potongan rambut unik sempena Krismas ini, mereka boleh ke kedai gunting kami,” katanya dengan kedai terbabit Da Di Du Borneo Haircut terletak berhampiran pusat beli belah Aiman Mall, Desa Ilmu, di sini.
Luis berkata mereka boleh membuat potongan rambut menarik terbabit dengan bayaran antara RM20 hingga RM30 seorang dan tawaran harga terbabit sempena Krismas ini. — DayakDaily