Covid-19: 2,018 kes baharu dan 1,084 pulih

Covid-19 (file pic)

KUCHING, 21 Dis: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 2,018 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia adalah jumlah harian ketiga terbesar setakat ini dan melibatkan 2,011 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 95,327 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 16,496 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Selangor kekal melaporkan kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 1,204 kes, diikuti Johor dengan 278 kes dan Sabah 247 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,084 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 78,393 kes atau 82.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 109 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 55 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 438 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat satu kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan bukan warganegara di Hospital Tuaran, Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lapan kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Pekapuri, Batu Besar dan Tower di Selangor, Kluster Tapak Bina Pelangi di Kuala Lumpur, Kluster J Bandar di Labuan, Kluster May Indah di Pulau Pinang, Kluster Tower di Pahang dan Kluster Wawasan di Putrajaya. — DayakDaily