Populasi etnik Kejaman melebihi 4,000

Dr Amee Joan

KOTA SAMARAHAN, 31 Okt: Populasi etnik Kejaman di Sarawak kini melebihi 4,000 orang.

Pensyarah Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Amee Joan berkata, ini termasuklah mereka yang telah berkahwin dengan kaum lain.

“Dahulu dikatakan hanya 500 hingga 700 sahaja populasi etnik Kejaman, tetapi menerusi kajian saya, (didapati) populasi mereka adalah lebih 4,000.


“Mereka (etnik Kejaman) juga tidak kehilangan bahasa seperti yang dilaporkan,” katanya ketika ditemui.

Hari ini Amee, 51, yang berasal dari Sri Aman menerima Ijazah Kedoktoran di Konvokesyen Unimas Ke-26.

Kajian selama empat tahun beliau adalah berhubung bahasa, budaya dan hubungan kaum Kejaman di Daerah Belaga iaitu di Rumah Kejaman Ba Segaham dan Neh Long Litten.

Menurut Amee, etnik Kejaman memiliki persamaan bahasa dengan kaum Melanau dan persamaan budaya dengan kaum Iban.

“Bahasa mereka adalah mudah. Generasi baharu yang berhijrah ke bandar pun masih boleh bertutur di dalam bahasa sendiri,” katanya.

Konvokesyen Unimas ke-26 menyaksikan seramai 3,972 orang graduan memperolehi ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda.

Pengisytiharan Konvokesyen telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Canselor Unimas pada sidang pertama yang berlangsung hari ini.

Konvokesyen kali ini dilangsungkan selama empat hari sehingga 3 November dan melibatkan tujuh sidang. — DayakDaily